www.masjidassobirin.com  
Masjid As-Sobirin
Jalan AU5C/5, Lembah Keramat, Ulu Kelang 54200 Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-41074859
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Untuk makluman ustaz saya mengalami penyakit was was yang saya rasa
memang sgt serius terutama dalam mengambil wuduk dan solat. kalu mengambil wuduk saya mmg selalu
ulang 3-4 kali terutamanya ketika niat. Amat susah sekali untuk berniat untuk sebarang ibadah termasuk
sembahyang, wudhuk walaupun saya sedar yang perbuatan saya itu tidak masuk akal. Saya sedar ini semua
perbuatan syaitan tetapi saya gagal mengawal fikiran saya. saya juga membasuh muka lebih drp 10 kali
kerana was was air masih belum rata diseluruh bhg muka. saya juga mendapati kalu ambil wuduk mesti
ambil masa 10 minit atau lebih. disebabkan ini hati saya jadi tak tenteram dan selalu gelisah. oleh itu saya
ingin meminta nasihat drp ustaz untuk mengatasi masalah saya ini.

Jawapan Ustaz:

Saya turut bersimpati dengan masalah was-was saudara. Kedengaran ia sangat memeritkan hidup saudara selama
ini. Masalah ini sebenarnya bukan dihadapi oleh saudara seorang.

Terdapat ramai lagi yang menghadapi masalah ini. Bahkan daripada kalangan bukan Islam dan pada perkara-
perkara yang tidak berkaitan dengan agama.

Ia kadang-kala dikaitkan dengan masalah psikologi yang dinamakan obsessive-compulsive disorder (OCD).

Menurut perspektif Islam, memanglah situasi yang adik gambarkan dinamakan was-was (dalam bahasa Arab -
waswasah ) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran oleh syaitan.

Al-Quran telah menerangkan kepada kita yang ia telah bermula dari hari-hari pertama Adam hidup di syurga lagi -
firman Allah, surah al-A'raaf, ayat 20: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua
(agar) mendedahkan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:
"Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu
berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).

Begitu juga dalam surah Taha, ayat 120: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan
berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang membolehkan kau hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

Allah mengajar kita manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat teknik hasutan
bisikan syaitan ini dalam surah al-A'raaf, ayat 200: Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka
mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Di penghujung al-Quran dalam surah al-Naas, kita diajar dengan lebih terperinci bagaimana melindungi diri
daripada was-was dengan membacanya dengan penuh penghayatan terhadap maksud setiap ayat dalam surah
yang pendek tetapi besar fungsinya kepada kita dalam memerangi was-was secara kognitif:

(1) Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Tuan Empunya sekalian manusia."

(2) "Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia".

(3) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia

(4) "Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul".

(5) "Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia".

(6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia". (an-Naas: 1-6)

Alhamdulillah, saudara telah berjaya mengesan masalah saudara dan telah cuba berusaha dengan inisiatif sendiri
mengatasinya. Kemudian diteruskan melalui bantuan kawan-kawan.

Malahan saudara masih berinisiatif untuk mencari jalan keluar masalah saudara dengan bertanya kepada ustaz. Itu
tandanya Allah masih sayangkan saudara sebab itu Dia tetap Memberi Hidayah-Nya kepada saudara untuk
berusaha kepada perubahan dan penyelesaian.



Sekarang saudara cuba kawal tumpuan aliran pemikiran saudara. Cuba sedikit demi sedikit secara berperingkat.
Kemudian,  cuba semula cara lawan bisikan itu dengan membaca surah al-Naas dan isti'azah tetapi dengan
menghayati, menyebatikan dan menjadikan maksudnya berpasak sekukuh-kukuhnya di minda adik.

Bacalah bersama surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali selepas setiap solat. Saudara mesti yakin
Allah SWT sedang memerhati saudara dan Maha Mendengar keluhan penderitaan saudara yang memohon-Nya
melindungi saudara daripada gangguan was-was tersebut.

Daripada luahan hati saudara mengenai masalah ini, saya juga dapati saudara sentiasa sedar apabila ia berlaku dan
hati saudara tidak suka masalah ini berterusan seakan di bawah kawalan sesuatu, betul tak?

Oleh itu, saya mahu saudara sentiasa memantau aktiviti dalaman minda dan jiwa adik terutamanya apabila bisikan-
bisikan yang membawa kepada was-was muncul. Apabila ia datang, cuba labelkan bahawa ia bukan daripada diri
saudara tetapi bisikan syaitan dan syaitan itu musuh manusia yang nyata.

Oleh kerana ia musuh saudara, pastinya ia bertujuan memusnahkan saudara. Oleh itu, saudara mesti mengawal
diri dan minda saudara agar tidak dapat ditakluk oleh kuasa syaitan dengan memohon perlindungan Allah SWT
daripada mudarat yang mungkin diakibatkan oleh syaitan - itu pun dengan izin Allah.

Kemudian, cuba ubah aliran tumpuan fikiran saudara daripada menyedari kemunculan bisikan-bisikan ini kepada
memberi sepenuh tumpuan kepada wuduk atau solat saudara. Cuba jangan pedulikan bisikan was-was yang
muncul.

Cuba bayangkan ia seumpama sesuatu imej, pangkahkan untuk menutup skrin imej itu seperti saudara menutup
skrin halaman sesawang. Hilang. Beritahu diri saudara ia sesuatu yang tidak penting langsung untuk diberi
perhatian atau disedari kemunculannya.

Wuduk dan solat yang ingin adik persembahkan yang terbaik kepada Allah adalah lebih penting.

Saudara juga boleh melakukan terapi kepada diri sendiri. Contohnya bagi diri saudara masa selama seminggu.
Cuba berwuduk atau bersolat pada waktu lapang.

Apabila bisikan was-was itu muncul cuba kawal diri saudara daripada mengulang-ulang mana-mana bahagian
wuduk atau solat. Hari pertama mungkin daripada kebiasaannya saudara berwuduk sampai 10 minit, adik
pastikan dapat kurangkan sehingga sekurang-kurangnya seminit, jadi sembilan minit. Begitulah sampai hari
ketujuh, mungkin sudah mencapai tahap normal tiga hingga lima minit. Begitu juga ketika berniat solat.

Terapi ini biasanya sangat berkesan dan akan menghentikan masalah yang adik hadapi sekarang secara beransur-
ansur. Insya-Allah.

Saya dapati rasa was-was ini dicetuskan daripada rasa bersalah (guilt) saudara. Seakan-akan minda saudara
dihantui ketakutan kemungkinan adik akan melakukan kesalahan dalam setiap perbuatan adik ketika berwuduk
dan dalam solat.

Perasaan bersalah dan takut ini bagus tetapi perlulah diimbangi dengan rasa yakin diri dan mengharapkan rahmat
Allah. Allah Maha Pengasihani, Islam datang bukan untuk menyusahkan sehingga saudara rasa tertekan setiap kali
hendak solat sedangkan ia tiang agama yang menjadi kewajipan utama seperti yang terdapat dalam al-Quran.

Al-Quran juga tidak diturunkan untuk membuat kita tertekan, firman Allah dalam surah Taha ayat 2: Kami tidak
menurunkan al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) untuk menyusahkanmu.

Sedangkan Allah berfirman kepada orang-orang yang melampaui batas (melakukan maksiat) agar jangan berputus
asa daripada rahmat Allah:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka
sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana
Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (az-Zumar: 53)

Mesti Allah lagi Maha Mengasihani terhadap saudara yang ingin mempersembahkan solat yang terbaik kepada-
Nya. Jadi, saudara tak perlu terlalu risau, tertekan terlalu obses tidak mahu buat silap ketika berwuduk atau solat.

Yakin dengan diri saudara yang saudara buat itu sudah betul sekadar yang  termampu sebagai seorang manusia.
Hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna.


Beritahulah kepada ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan saudara tentang masalah saudara ini sambil meminta
mereka memberi sokongan moral kepada saudara sepanjang berjuang membebaskan diri saudara daripada dijajahi
was-was. Mereka mungkin boleh membantu  contohnya memantau semasa saudara berwuduk dan bersolat.

Pada masa yang sama banyakkan membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah serta ayat al-Kursi jika
saudara mampu, banyakkan lagi bersabar dan teruskan berdoa memohon kepada Allah SWT agar masalah
saudara ini segera selesai. Amin.

Jika keadaan bertambah teruk, saudara perlulah mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau ahli
psikologi yang terlatih untuk mengatasi masalah ini kerana kadang-kadang ia ada kaitan dengan faktor genetik
atau aktiviti-aktiviti tertentu otak atau masalah peribadi yang saudara hadapi dalam kehidupan sehari-hari seperti
perasaan terlalu merendah diri dan mengutuk diri - "saya bodoh, jahil dan sebagainya".

Biasanya ia berpunca daripada peristiwa tertentu pada masa lalu yang memberi kesan yang sangat mendalam
dalam diri saudara. Begitu juga sumber informasi yang salah seperti rasa takut (khawf) kepada Allah yang tidak
disertakan dengan informasi ia perlu diimbangi dengan rasa harap (rajaa') kepada Allah.

Kesimpulannya, cubalah menambah ilmu pengetahuan dengan belajar atau melalui pembacaan terutamanya buku-
buku agama.
wallahu’alam bishawab.
Pautan Luar

Selamat melayari laman web Masjid As Sobirin  
Soal Jawab Agama